Selasa, 24 Mei 2011

PUISI TANGISAN MADRASAH AT TAQWA

     Salam kasih sayang buat anda semua...

Malam tadi kita bersama ketawa gembira,
Hubungan mesra bagaikan saudara sesyurga,
Kita mengaji dan mengalunkan nasyid bergembira,
Tak sangka itulah kenangan akhir kita...

Suci wajah-wajah anak-anak ini,
Bercahaya kerana Al Quran di lekat di hati,
Penyeri keluarga apabila bersama,
Pembela keluarga kelak tiba masanya...














Hari-hari mereka penuh gembira,
Hilai tawa terkadang menangis bersama,
Hubungan yang erat tetap terjaga,
Hanya nyawa pemisah mereka...

Hari itu ketika malam menjelma,
Kita semua berkumpul mesra bersama-sama,
Solat Isyak yang mendamaikan suasana,
Alunan Al Quran yang menggegar jiwa...

Malam itu bagai malam terakhir kita,
Masing-masing terasa akan manisnya bersaudara,
Suasana bagaikan memberi gambaran peristiwa,
kita menangis secara tiba-tiba...

Pagi yang hening di kejutkan azan yang mendayu,
Mendayu tidak seperti biasa,
Mendayu amat menyentuh jiwa,
seolah-olah alam menitiskan air matanya...

Burung berkicau tak keruan,
Membawa alamat qadaq dan qadar dari Tuhan,
Alam resah menanti berita,
Apakah bakal menanti mereka...

Wahai anak-anak penghuni syurga,
Sudah tiba masa kau ke sana,
Hukum Allah tetap dan tepat pada masanya,
Kau termasuk di dalam urusanNya...

Ketika kau berkumpul bernasyid bersama,
Ketika itu pintu syurga pun di buka,
Hai anak-anak kecintaan Nabi,
Sudah masanya kau berpisah sementara...















Menangis alam berderai air matanya,
Berlaku peristiwa meruntun jiwa,
Ranap rumahmu di timpa bencana,
Bermula episod cerita takdirNya...

Terkedu melihat suasana,
Bertempiaran lari menyelamatkan diri,
Mana rakanmu entah ke mana,
Nasib mereka apakan terjadi...

Menjerit ketakutan meraung kesakitan,
Tangan melambai meminta bantuan,
Apakan daya tangan tak sampai,
Hanya air mata jatuh berderai...

Bayangkan suasana tatkala itu,
Bagaikan kiamat sudah berlaku,
Ngeri suasana tak sanggup di gambar,
Di depan mata sudah terpapar...

Anak-anak yang meraung sudah tiada,
Tubuh kaku meghibakan suasana,
Teresak-esak sahabatmu dan kita semua,
Tatkala anak-anak ini tiada bernyawa...

Tabahlah wahai anak-anak At Taqwa,
Kejadian menimpa terkandung hikmah,
Ini sebahagian urusan Allah,
Panjatkan doa hadiahkan al fatehah...

Buat sahabatmu yang terkorban,
Bergembiralah di samping tuhan,
Allah memuliakan kamu,
Kerana kau adalah sebahagian tetamu...

Berbahagialah kau di sana,
Di sisi nabi dan tuhan yang Esa,
Doa kami iringmu sentiasa,
Kenangan terpahat tak akan di lupa...














Khamis, 12 Mei 2011

IMBAS KENANGAN LALU...BANGKITLAH

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Kadang kala kita merasa hidup terlalu bosan. Mungkin kita pernah lalui suatu saat yang tiba-tiba merasakan hidup merasa bosan dan diri tidak ada semangat dan kekuatan untuk melakukan aktiviti harian, badan dan minda menjadi lesu, fokus kita hilang, kekuatan yang selama ini bersama kita juga turut hilang di telan kemurungan yang berpanjangan, hidup seakan-akan kosong tiada tujuan.

     Jika berlaku situasi seperti ini, kita harus segera bangkit agar kita tidak hanyut di buai kemurungan selamanya. Bangkitlah dan tinggalkan kemurungan, carilah semangat yang hilang, pulihkanlah tenaga dan mindamu.

     Suatu hari jika anda bersendirian, tatkala suasana menjadi tenang, ambillah album kenangan anda bersama keluarga dan tataplah perlahan-lahan. Lihatlah wajah anda sewaktu kecil, ketika kanak-kanak, kemudian remaja dan seterusnya menjadi dewasa. Lihatlah wajah ibu dan bapamu sepuas-puasnya, lihat wajah adik-beradik dan perhatikanlah wajah-wajah kesayangan anda. Tatap wajah mereka dan imbas setiap cerita di dalam gambar kenangan yang indah itu, bawalah diri anda ke zaman dulu dan rasailah kemanisan di waktu itu, saya pasti anda akan bahagia dan semangat anda akan mula bangkit, kenangan lama akan membantu mencipta kenangan baru, hidup anda akan berbunga kembali.

     Lihatlah gambar wajah ibubapamu, kenanglah pengorbanan mereka dahulu, perhatikan betapa mereka memelukmu erat ketika kamu kecil dahulu. Betapa gembiranya mereka ketika melihatmu tersenyum, betapa terhiburnya mereka dengan telatahmu ketika mula belajar berjalan, sesungguhnya ibubapamu bahagia ketika itu.

     Lihatlah gambar seterusnya, betapa akrabnya hubungan sesama adik beradikmu, makan bersama, tidur bersama, ketawa bahagia, semua kenangan akan terimbas mesra.

     Seterusnya lihatlah gambar-gambar kenangan yang boleh membahagiakanmu, yang membuatkan senyuman di bibir kembali terukir dan yang membuatkan hati terusik seketika.

      Perhatikan juga suasana, keadaan dan perubahan gambar di masa lalu dengan waktu kini, anda akan lihat jika dulu rumahmu di kelilingi hutan, kini tiada lagi keadaan itu. Jika dulu di tepi rumahmu ada tempayan, kini tiada lagi dan di ganti paip besi, Jika dulu rumah bertiang kayu, mungkin kita menjadi batu. Semua perubahan ini jika anda perhatikan dan amati sedalam-dalamnya, pasti hatimu akan bercerita dan akan terimbas semua kenangan yang lama.

    Pelbagai kenangan akan terimbas, anda akan terhibur dengannya tapi ingatlah jika mereka yang anda lihat tiada lagi di dunia ini, maka hadiahkanlah Al Fatihah untuk mereka, dan maafkan serta doakan mereka kerana mereka pernah melengkapkan kenangan terindah anda suatu masa dahulu, kerana mereka juga gambar itu bercerita dan kenanglah bahawa mereka pernah bersama kita.

   Sekarang hati anda sudah berbunga kembali, malah terkadang air mata membasahi pipi. Kini anda punyai semangat kembali dan seharusnya anda terus bersemangat demi sebuah kehidupan abadi.

 
 

Rabu, 4 Mei 2011

KUASA FOKUS

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Untuk mencapai kejayaan perlukan fokus dan fokus amat perlu jika inginkan kejayaan.Tidak kira apa jua matlamat anda samaada besar atau kecil, ianya memerlukan anda fokus untuk mendapatkannya. Sebagai contoh, jika anda ingin miliki sebuah buku yang anda sangat minat dan harganya pula agak mahal, pada waktu itu anda tidak mampu untuk memilikinya. Percaya atau tidak, dengan kekuatan hasrat anda yang sangat kuat ingin memilikinya menjadikan anda fokus untuk merealisasikan niat anda itu. Bermacam-macam usaha akan anda lakukan dan akhirnya anda berjaya juga.


     Kenapa anda berjaya mencapai impian anda itu? cuba fikir dan renungkan sejenak...


Ok, mari kita kaitkan pula dengan kuasa fokus yang kita bincangkan diatas. Sebaik sahaja anda fokus untuk mencapai sesuatu yang diingini, secara otomatik seluruh tenaga anda bersatu, daya fikir dan daya kreatif akan terbentuk di minda menyebabkan minda merakam hasrat dan niat anda. Minda akan memainkan peranan untuk merealisasikan niat anda itu, ini yang dinamakan kuasa minda. Selagi mana anda terus fokus, minda akan terus bekerja secara otomatik menterjemahkan niat anda itu, akhirnya seluruh tenaga dan daya fikir anda akan bergerak seiring untuk merealisasikan apa yang minda rakamkan.


     Secara kesimpulannya :

anda inginkan sesuatu, kemudian merakamkannya dalam mindaFOKUS, dan minda  akan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.

     Secara ringkasnya :

Selagimana anda fokus pada sesuatu matlamat, 
selagi itu tenaga tubuh dan tenaga fikir anda 
akan  terarah ke arah matlamat anda.  


Dan...


Jika anda tidak fokus, sebenarnya anda telah kehilangan daya hasrat yang diperlukan untuk mencapai matlamat..

anda juga akan kehilangan tenaga tubuh dan daya fikir untuk mencapai matlamat...

...kadang-kala anda akan buntu dan membuang banyak masa dan tenaga hanya untuk sesuatu perkara yang sepatutnya mudah tetapi teramat susah kerana kehilangan FOKUS. 




   

Sabtu, 30 April 2011

LIHAT WAJAH ANAK-ANAKMU

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Wahai orang yang budiman,
Berusahalah mencari kebahagiaan,
lihat wajah anak-anakmu,
buatlah mereka bahagia selalu.

     Wahai orang yang budiman,
Sediakanlah pakai minum anak-anakmu,
Semoga mereka mengukir senyuman untukmu,
Semoga kau pun tersenyum melihat senyumannya selalu.

     Wahai orang yang budiman,
Jalankanlah tanggungjawabmu dengan amanah,
Jangan kau abaikan secuai kehendakmu,
Jangan biarkan wajah anak-anakmu suram selalu.

     Wahai orang yang budiman,
Ajarlah anak-anakmu agama dan Al Quran,
Bantulah mereka hidup berpanduan,
Agar kelak mereka hidup bersandar iman.

     Wahai orang yang budiman,
Bekalkan anak-anakmu dengan tauladan,
Tunjukkanlah sifat yang budiman,
Supaya mereka hidup sentiasa berpedoman.

     Wahai orang yang budiman,
Renunglah wajah anak-anak kesayanganmu,
Jangan sesekali menjamahkan mereka dengan yang haram,
kasihkanlah mereka, tunjukkanlah ke arah agama.

     Wahai orang yang budiman,
Anak-anakmu itu adalah amanah,
Mereka bukan barang perhiasan,
Oleh itu jangan kau abaikan.

     Wahai orang yang budiman,
Jangan dimanjakan anak-anakmu dengan kemewahan,
Kelak mereka tak kenal erti kesusahan,
Nanti tak tahu erti kemanusiaan.

     Wahai orang yang budiman,
Berbaiklah dalam mendidik anak,
Tunjukkanlah akhlak yang paling indah,
Supaya hasilnya kau juga akan bahagia.

     Wahai orang yang budiman,
Cukuplah setakat ini sebagai catatan,
Ambillah isinya buat renungan,
Jika kau suka, jadikannya sebuah panduan.
    

Sabtu, 16 April 2011

AHLI PARLIMEN YANG ANGKUH

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Suatu ketika dahulu, semasa harga minyak naik 30 sen, ramailah yang mengeluh panjang. Pada waktu itu, banyak rungutan di dada-dada akhbar, blog-blog dan jadi bualan di mana-mana sahaja. Bayangkan kesusahan yang terpaksa di tanggung oleh semua khususnya orang yang tidak berkemampuan.

     Pelbagai ragam manusia kita lihat, tak kira dari golongan mana sekalipun. Pelbagai pendapat yang kita dengar, ada yang menyokong dan banyak dari itu yang membantah. Memang terasa waktu itu, bagi yang berkemampuan memang tak terasa tapi bagaimana dengan golongan yang lain?.

     Perkara ini memang serius dan di bincangkan di sidang parlimen, memang panas. Rata-rata yang membangkang menyatakan pendapat mereka, manakala yang menyokong mempertahankan dengan fakta-fakta mereka.

     Sewaktu sidang parlimen kecoh dengan isu ini, tiba-tiba ada seorang ahli parlimen yang dengan angkuhnya menyangkal semua keluhan dan resah gelisah rakyat pada masa itu. Dengan angkuhnya dia mengatakan bahawa tidak kisah jika minyak naik 30 sen dan jika naik 40 sen pun dia kata tak apa, waktu tu dia berkata seolah tercabut akal fikirannya. Katanya lagi, rakyat tak perlu 'bising' dan isu ini tak menjejaskan kehidupan seharian waktu itu.

     Tengoklah betapa angkuhnya ahli parlimen ini, bercakap sembarangan, dia mungkin tak terasa dapurnya kosong, mungkin dia tak pernah dengar anaknya menangis tak cukup susu, mungkin dia tak pernah makan nasi tanpa lauk, mungkin dia tak pernah rasa tolak motor kehabisan minyak, mungkin dia tak pernah menangis tengok anak-anaknya pakai baju koyak semasa ke sekolah, mungkin tak pernah rasa cemas nak cari duit beli ubat sewaktu ahli keluarganya sakit, mungkin dia tak rasa betapa malunya berhutang...

     Wahai ahli parlimen yang angkuh!  aku amat marah dengan kamu...kau tak rasa apa yang kami rasa, kau bergaji besar, elaun beribu malahan rumah kau agam dan dudukmu dalam kedinginan 'aircorn'...pernah tak kau alami perkara seperti kami, yang pernah menangis saban hari..tentunya tidak, kau tak rasakannya...

     Wahai ahli parlimen yang angkuh! sedarlah dirimu, renunglah wajah-wajah orang yang sudi mengundimu, jangan kau lukai hati mereka, jangan kau pandang hina pada mereka, jangan kau asyik bergembira dengan teman-temanmu yang kaya-raya tapi fikirlah nasib jiranmu yang kelaparan dan kesusahan...

     Wahai ahli parlimen yang angkuh! cukuplah kau dilimpahi kesenangan, jangan kau samakan kau dengan kami, meja kau penuh hidangan setiap hari tapi kami..meja kami..

     Saudaraku sekalian, nasihatku jika kita senang jangan lupa yang susah, jangan sesekali menghina orang yang susah, jangan mendabik dada apabila rezekimu melimpah, cukuplah nasihatku ini..jangan jadikan sikap ahli parlimen yang angkuh ini sebagai ikutanmu..cerita ini sebagai nasihat buat kita semua, bercakap biar memandang, melihat biar merasa, merasa biar bersama...salam kasih sayang buat anda semua.

Rabu, 13 April 2011

AURA ORANG ALIM

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Sejuk mata memandang, tenang bila bersama, itu mungkin antara kata-kata yang selalu di sebut-sebut tatkala memandang atau bersama orang yang Alim. Kenapa wajah orang yang Alim seakan bercahaya ? kenapa kita berada dalam keadaan tenang bila bersamanya? mari kita kongsi jawapannya.

     Saudara yang ku muliakan, orang Alim yang di maksudkan disini ialah mereka yang bertaraf mursyid. Siapa pula yang dikatakan MURSYID ? orang yang bertaraf mursyid ialah dari kalangan orang yang sudah mencapai makam tauhid yang sebenarnya, mereka dari golongan muntahi, amalan mereka ialah 'dari Allah..bersama Allah..kerana Allah'.  Mereka ini tak semestinya dari golongan ulama sahaja, ada juga yang di kalangan orang biasa seperti kita.

     Berbalik kepada persoalan di atas, ketenangan yang terpancar dari wajah orang Alim adalah Nur yang di pancarkan dari Allah, malah diri mereka di kelilingi oleh Nur kesejahteraan dari tuhan. Hidup mereka dipenuhi rahsia ketuhanan dan mereka rela menjadi hamba sehambanya kepada tuhan.

     Allah menghiasi diri mereka dengan ilmu dan amal yang ikhlas, kata-kata  mereka benar, perlakuan mereka juga benar, hati mereka teguh yakin dengan Allah. Mereka adalah golongan orang yang suci di sisi tuhan.

     Saudaraku, bila ilmu dan amal mereka ikhlas, tutur kata dan perlakuan mereka benar, tauhid mereka kukuh, maka golongan ini terlepas dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan terpancarlah sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) dari diri mereka.

     Hasil dari suci hati dan perbuatan mereka, akan terbitlah AURA yang positif. Aura positif terhasil dari dalam dirinya malah mengelilingi mereka, oleh sebab itu, kita akan berasa tenang bila bersama dengan golongan seperti ini, kata-katanya akan memberi kita semangat dan motivasi dan wajahnya akan kita rindui.

     Saudaraku sekelian, kita memerlukan Aura yang positif untuk mencapai ketenangan dalam hidup ini. Untuk menjadi seorang yang positif, pelbagai cara yang boleh kita laksanakan dan salah satu caranya adalah berdamping dengan orang yang positif terutamanya berdamping dengan orang Alim yang mursyid kerana golongan inilah yang akan mewariskan kita dengan ilmu dan amal yang sebenarnya.

sekian...

Selasa, 12 April 2011

ALAHAI..GADIS LITAR

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Pernah tak anda lihat majalah, surat khabar ataupun sesekali terlihat iklan di TV tentang gadis litar? mesti pernah kan? kalau yang datang ke litar tengok race memang tengok punyalah...
    
     Perasan tak ? apa nak jadi dengan dunia hari ini, kenapa kita terikut-ikut cara barat ? sedangkan perlumbaan yang kita tengok tu kat bumi kita sendiri, bumi yang majoritinya Islam dan kerajaan yang memerintah negara kita mendakwa mengamalkan Islam.

     Bersukan, berhibur ataupun riadah bukanlah di larang cuma perlu mengikut garis panduan tuhan. Pendapat saya, kita di Malaysia ni tak perlulah mengikut acuan barat seratus peratus, barat tu sebenarnya nak menghancurkan orang Islam, cuma kita sahaja yang tak perasan. Cara utama mereka nak hancurkan kita adalah dengan HIBURAN dan SUKAN ! perasan tak ?

     Berbalik kepada gatis litar tadi, tak kasihan ke kita pada anak-anak gadis kita yang terutamanya Islam di dedahkan auratnya kepada umum, tak malukah kita pada Allah yang Maha Melihat ?, tak takutkah kita pada azabnya?  atau kita berbangga menayangkan bentuk tubuh anak-anak kita?

     Kita semua termasuk pemerintah dan rakyat harus bijak, bukankah ini negara kita, sepatutnya semua perkara boleh di buat mengikut acuan kita yang berlandaskan agama. Ini tidak, kita ceduk semua dan dengan selambanya orang barat mentertawakan kita..kita yang bodoh tertipu atau mereka yang pandai menipu?.

     Betapa malunya orang Islam hari ini, maruahnya di injak-injak, sudahlah syariatnya tidak dijalankan sepenuhnya malahan di ejek-ejek oleh kebijaksanaan orang kafir barat. Anak-anak muda kita di jadikannya alat tunggangan mainan mereka.

    Sepatutnya kita boleh menjadi contoh kepada orang luar, buatlah sesuatu mengikut cara Islam, tak kanlah bila kita dah tertindas baru nak buka mata, baru nak pertahankan Islam. Negara kita di perintah oleh orang Islam, oleh itu tiada alasan untuk kata tidak. Kalau orang Islam sendiri yang merelakan perkara macam ni, tak tahu lah apa nak cakap, tunggulah hukuman tuhan!!!

     Ya Allah, selamatkan negara kami...fikirkan baik-baik apa yang dinukilkan ini, renunglah dalam-dalam...nukilan ini hanya satu perkara dari ribuan perkara lain yang seumpama dengannya.

     Semoga kita dilindungi Allah dari kemurkaanNya.

Sabtu, 9 April 2011

JURUJUAL 'TERLAMPAU'

     Salam kasih sayang buat anda semua...
  
    Saudaraku yang ku muliakan sekalian,  pernah tak anda berhadapan dengan jurujual yang terlalu ghairah mempromosi barangannya. Pernah tak tiba-tiba seorang jurujual menyapu krim di tangan anda ataupun mencalit minyak wangi di baju anda ?

     Mungkin anda pernah alami perkara seperti itu?

     Jika anda pernah alaminya, bagaimana perasaan anda?  tapi bukan itu persoalannya.

     PERSOALANNYA...

     Adakah anda seorang jurujual ? dan pernah lakukannya ?

     JIKA YA, hentikanlah!  kerana perbuatan itu tidak beradab!!!



    BAYANGKAN JIKA,

    Anda seorang perempuan dan anda secara agresif mempromosi produk kecantikan anda, tiba-tiba lalu di hadapan anda seorang lelaki, akibat terlalu bersemangat nak jual produk, anda pun terus menyapu krim kecantikan tu ke tangannya. Adakah anda rasa perbuatan anda itu betul atau tidak ?

     Mungkin perbuatan anda itu tak disenangi atau mengundang ketidakselesaan sesetengah orang.  Lagipun islam melarang menyentuh orang yang lain jantinanya, jika orang tu ada air sembahyang, kan dah batal! dapat dosa EXTRA lagi...


     SEELOKNYA..

     Anda mintalah izin jika mahu pelanggan mencuba produk anda dan janganlahh bersentuh lelaki dengan perempuan..Buatlah pekerjaan dengan sopan dan beradab, insyaAllah anda akan disenangi dan murah rezeki.

     MOTIVASINYA DI SINI...

     JADILAH JURUJUAL YANG BERHEMAH TINGGI BUKANNYA YANG 'TERLAMPAU'

Jumaat, 8 April 2011

LAGU ATAU TAJWID

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Al kisah, suatu hari saya bersembahyang jemaah di sebuah surau. Surau ni di dalam kawasan sebuah taman perumahan. Alhamdulillah dapat berjemaah solat maghrib bersama jemaah surau. Apa yang nak di kongsikan di sini ialah berkenaan pak imam pada malam tu.

     Kisahnya begini, dari pengamatan saya, suaru ni memang tak ada imam yang tetap, sesiapa pun boleh jadi imam asalkan rasa mampu jadi imam. Pendekkan cerita, selepas sahaja qamat, bergeraklah seorang yang usia lebih kurang 50an ke hadapan, maknanya nak jadi imam waktu tu. Sebagai  orang asing, saya cuma perhatikan sahaja. Apa yang saya nampak, pak cik kita ni macam nak solat sorang-sorang pulak, tak toleh kiri kanan depan belakang, mana tahu jemaah belum sedia ataupun saf tak dirapatkan lagi, macam orang start motor dan terus jalan...

     Saya pun pelik juga dengan imam kita ni...kemudian imam pun angkat takbir, kami semua pun berjemaahlah..


KISAH SELANJUTNYA...


    
     Imam pun baca Al Fatehah diikuti dengan surah, memang sedap bacaan imam ni, mendayu-dayu macam takbir raya...rasanya khusyuk para jemaah sekalian...


TAPI...


.....yang jadi tanda tanya, imam ni baca tak ikut tajwid, main langgar gitu. Macam orang bawa kereta langgar je lubang yang dia suka.

Tak boleh macam tu..tapi tak apalah, mungkin imam ni antara yang terbaik bacaannya di surau pada ketika itu.

Terima kasih pada pak cik tu kerana imamkan solat tadi semoga Allah akan memberkati dan menambahkan ilmu kepadanya.


PERSOALANNYA...


Jika anda di tanya...


Mana yang lebih utama ...LAGU ATAU TAJWID ?

15 MINIT SEHARI

     Sayang kasih sayang buat anda semua...


    15 MINIT SEHARI...LAMA-LAMA JADI SEBATI...

     ANDA BOLEH LAKUKANNYA :

  • BACA AL QURAN
  • BACA SURAH-SURAH PILIHAN
  • HAFAZ AYAT-AYAT PILIHAN
  • AMAL AYAT-AYAT AMALAN
  • BERZIKIR DAN WIRID
  • BERATIB
  • BERTAFAKUR
  • MUHASABAH DIRI
  • BACA BUKU ILMIAH

     PILIHLAH MANA YANG BERKENAN DIHATI...

     LUANGKAN CUMA 15 MINIT SETIAP HARI...

     INSYA ALLAH...

     LAMA-LAMA JADI SEBATI.




  

Khamis, 7 April 2011

5 DALAM 5

    

     Salam kasih sayang buat anda semua...



Allah telah meletakkan lima hal dalam lima tempat :



  • KEMULIAAN dalam ketaatan


  • KEHINAAN dalam perbuatan maksiat


  • KARISMA dalam solat malam


  • KEBIJAKSANAAN dalam hati yang tenang


  • KEKAYAAN dalam qanaah (merasa cukup)


BERSIHKAN HATI

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Jika di tanya, bagaimana ingin ketenangan menjelma dalam diri ?  jawabnya adalah BERSIHKAN HATI.


BERSIHKAN HATI ?  KENAPA ?

Hanya "hati" tempat Allah menilai kamu dan "hatilah" punca kamu bahagia atau sengsara.



BAGAIMANA ?

PERTAMA : Buangkan segala sifat yang terkeji (mazmumah) spt :

                     TAMAK, HALOBA, DENGKI, KHIANAT, BURUK SANGKA, DENDAM KESUMAT,
                     KEDEKUT, PEMARAH, MALAS, PENGAMPU, ADU DOMBA, BATU API, RIAK,
                     UJUB, SUMAAH, EGO, PENGOTOR, GEMAR PERKARA MAKSIAT DAN DOSA,
                     RASUAH, MENGUMPAT, DERHAKA, CURANG, MENINDAS, BERAT SEBELAH,
                     BENGIS,DLL
                  

                     kemudian...

KEDUA     :  Amalkan sifat-sifat terpuji (mahmudah) spt :

                     MANIS BICARA, BERSEDEKAH, PEMAAF, QANAAH, ZUHUD, SUKA  
                     MENOLONG, KASIH SESAMA SAUDARA, BERSANGKA BAIK, BERBUAT TAAT,
                     LEMAH LEMBUT, SOPAN SANTUN, BERBUDI BAHASA, HORMATI
                     MENGHORMATI, SYUKUR, REDHA SABAR, TAUBAT, TAQWA,JUJUR,
                     AMANAH, MUHASABAH DIRI, DLL.


             Tips : makan makanan yang halal dan buat apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang.
                      buat yang wajib, banyakkan yang sunat dan jauhkan  berbuat dosa.


INSYA ALLAH,



ANDA AKAN MERASA KEMANISAN IMAN DAN KETENANGAN HATI :)
                

Selasa, 5 April 2011

BILA KITA BERDOSA

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Sebagai manusia biasa, kita tidak dapat mengelak dari berbuat dosa, ini bukan bermakna kita merelakan diri berbuat dosa. Saudaraku yang ku muliakan, pertama, jika kau berbuat dosa segeralah bertaubat dan menyesal. kemudian usahalah dikau agar menjauhinya dan bersungguh-sungguh dalam taubatmu.
     Sebagai manusia kita wajib memohon supaya Allah memberi taufiq dan hidayahNya. Janganlah jemu dalam berdoa kerana doa adalah senjata mukmin yang sejati..Berdoalah supaya dapat berbuat taat dan menjauhi maksiat, bersyukur dan pujilah Allah tatkala kita di izinkan berlaku taat dan memohonlah ampun jika tersasar jalan.
     Allah amat menyukai hamba yang sentiasa meminta keampunanNya, Allah maha mengetahui yang kita ini lemah dan sememangnya orang yang lemah sering meminta pertolongan kepada yang berkuasa. Menangislah dalam doamu seperti memangisnya anak-anak kecil yang menginginkan sesuatu.
     Mintalah ampun bila kita berdosa...

Khamis, 31 Mac 2011

SESEKALI..BERLAPARLAH

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Penuh hidangan diatas meja, berbagai macam makanan terhidang, dari pagi, tengahari, petang sehingga ke malam. itukan rezekimu, makanlah! kuatkan urat sarafmu, teguhkan tulangmu agar dapat kau kekuatan untuk berbuat taat..
     Bang! kakak! makcik! pakcik! dan adik-adikku sekalian, jangan terlalu banyak makan, nanti perutmu meragam, minda terendam dan badan tersembam, nanti kau malas nak bergerak apatah lagi nak beribadat lagipun nanti nafsumu akan memuncak! Awas!
     Bertuahnya kamu, tak kenal erti lapar, macam di syurga!!!  syukurlah pada tuhanMu dengan limpahanNya. Ingatlah pada saudaramu di sana, kelaparan menjadi hiburannya...sesekali kau berlaparlah, agar kau ingat akan nasib mereka...

BERSELAWATLAH...

salam kasih sayang buat anda semua...

   Berselawatlah ke atas nabi kita, pujilah dia kerna Allah dan malaikatNya sering memujinya. Wahai sahabatku sekalian, selawat adalah penolong yang paling besar tatkala kita di padang mahsyar kelak, kenapa mesti kau pinggirkan?, mengapa kau masih abaikan ? sedangkan tiada sesiapa yang dapat menyelamatkanmu kelak selain syafaat nabi mulia.
     Pujilah dia kerna dia mengingatimu sehingga akhir kalamnya..pujilah dia, kerna dia insan termulia..pujilah dan pujilah tanpa banyak bertanya kenapa, yang pastinya kau akan nikmati kemanisan lantaran memujinya..ajarkanlah kepada sesiapa tentang ini sebagaimana Allah ajarkan umatNya cara menyelamatkan diri...salam sejahtera wahai nabi...

Rabu, 30 Mac 2011

BELAJARLAH MERENDAH DIRI...

Salam kasih sayang buat anda semua...

     Belajarlah merendah diri kerna itu sifat terpuji, Allah memuji hambanya yang selalu merendah diri. Jadikanlah ia sebagai sifatmu,kerna kau tidak mempunyai apa-apa untuk dibanggakan. Bukankah semua yang kau ada itu milik Allah? sepatutnya kau malu dan sentiasa bersyukur bukannya meninggi diri sambil mendabik dada dan menjeling mata. Buanglah sifat kejimu, sedarlah dirimu, kita semua sama, cuma beza pada amal dan takwa padaNya.
     Janganlah memandang hina pada orang yang dibawahmu, kadang-kala ia lebih mulia darimu. Usahlah bangga dengan pencapaianmu, ianya tidak kau dapat jika bukan kerna ihsan Tuhanmu. Mungkin doa merekalah yang menyebabkan kau berpangkat dan berharta, cerminlah dirimu, malulah pada makhluk Allah yang melihatmu dilangit sana, malulah kau pada tuhanMu yang sentiasa melihat gerak-geri dan tahu isi hatimu.
     Buat apa nak meninggi diri, hidup pun cuma seketika, akhirat kelak kan berjumpa. Buangkanlah kebodohanmu itu, mari bersama menikmati hidup ini, celikkanlah hatimu, hiduplah sebagaimana yang tuhan perintahkan..belajarlah merendah diri.

AMBIL ANGIN!..BERCUTILAH..BUAT KELUARGAMU BAHAGIA

Salam kasih sayang buat anda semua...

     Musim cuti sekolah baru berakhir, mana kakimu melangkah?  bawalah dirimu dan keluarga menghirup udara segar di tempat orang, bak kata pepatah "jauh berjalan luas pandangan" rehatkanlah minda,luangkan masa bersama keluarga, pergilah hiburkan hati sejenak...
     Bagi yang tiada kemampuan, bawalah diri dan keluarga ke taman-taman, pantai berdekatan ataupun sekadar berjalan-jalan mengelilingi kawasan berhampiran demi untuk mengeratkan kesejahteraan keluarga.
     Hai! abang-abang, bawalah isterimu keluar ambil angin!, jangan biarkan terkurung dan murung, kasihanilah dia, penat dia lahirkan anak-anakmu, berterima kasihlah kepadanya wahai abang-abangku! jaga emosi isterimu, jangan kau kurung jasad dan minda seorang yang kau panggil sayang...
     Untuk bahagia tidak perlu jadi kaya, cukuplah dengan apa yang ada..buatlah keluargamu gembira, jadilah ayah yang dibangga...anak-anakmu akan bahagia bang, walaupun tiada harta...
    

Selasa, 29 Mac 2011

HORMATILAH IBUBAPAMU

   Salam kasih sayang buat anda semua...


     Jika kamu tidak mampu membahagiakan ibubapamu janganlah pula membebani apalagi melukai hatinya. Kini zaman amat tidak adil sekali, perbelanjaan sehari-hari amat tinggi, lepasan ijazah belum tentu mengecapi pekerjaan idaman hati.
     Ibu dan ayah bersusah payah membesarkan dan menabur keringat demi anak-anak tersayang, diberi segala-galanya untuk kecukupan pakai, makan minum dan pelajaran anak-anak. Harapannya satu, iaitu kejayaan untuk anak-anaknya.."anakku bila berjaya jangan lupa jasa ibu ayahmu"..
    Wahai anak, bersabarlah kamu dengan ujian hidup ini, luruskanlah niatmu, sucikanlah hatimu. aku tahu kamu seorang anak yang baik, aku tahu jasa ibu ayahmu ingin kau balas secukupnya tetapi bersabarlah jika kamu belum mampu membalas jasa mereka, bersabarlah...
    Wahai anak, jika kau belum mampu membalas jasa-jasa mereka, bersabarlah..tetapi ingat! jangan pula kau melukai mereka, cukuplah taatmu kepada mereka..kerna itulah harapan ayah ibumu.

KENANGAN DI PUSARA TOK KENALI


     Suatu hari ditakdirkan Allah akan impianku yang ku hajatkan sejak sekian lama...hari itu hujan turun lebat membasahi bumi seolah-olah menyambut kedatangan ku ke pusara tok kenali, anak kelantan yang namanya harum mashyur keseluruh pelusok nusantara suatu waktu dahulu..aku bersama keluargaku bertandang menziarahi pusara suci ini untuk mengunjungi tempat bersemadinya jasad seorang insan mulia yang digelar SANG WALI.
     Memang sudah impianku jika menjejaki bumi Kelantan akan ku jejakkan kaki bertandang bertamu dipusara sang wali ini. Alhamdulillah Allah mengizinkan aku sampai jua disini..perjalanan ku disini dipermudahkanNya..
     Setibanya disisi pusara ini, terasa hiba bercampur gembira, walaupun tidak pernah bersua kerna kita di zaman yang berbeza tetapi hatiku tetap berbunga-bunga. Ku panjatkan doa kesejahteraan untuknya serta tahlil dan zikir beratib bersama, juga doa untuk ku dan untukmu sekalian saudaraku. Terasa nyaman disisi pusaramu tok kenali, bauan wangi menyerbak semasa ku disisi pusaramu,bukan aku sahaja malah isteriku juga dapat merasai bauan wangi semerbak menusuk kehidung kami, mungkin inilah rezeki kami dapat merasai keanehan keramat tok kenali.
     Bukan ku mengagong-agongkan kuburan sang wali tetapi sekadar menghormati jasanya ketika berbakti dan memohon keberkatan dari Ilahi. Bukankah Nabi menganjurkan ke kuburan untuk sentiasa mengingati mati dan juga untuk mencelikkan hati..Kini sampai masanya kaki melangkah pergi, ku amati nisanmu, ku berharap akan kembali lagi..hujan masih turun tanpa henti, seolah-olah curahan tangis seorang pengembara rohani...
     Langkah terus sesekali memaling sambil hati bersyukur hajat ditunai Ilahi...selamat tinggal tok kenali, aku sampai jua di bumi tempat jasamu berbakti, kini aku akan pergi, pergi membawa semangatmu yang suci..
     Saudaraku, santunilah sang wali, hargailah jasa dan pengorbanannya, sesungguh Allah memuliakan waliNya dan memurkai sesiapa yang menentang akan kekasihNya...salam kasih sayang buat anda semua.

SYUKURLAH...

Salam kasih sayang buat anda semua...


     Syukurlah kerna nafas masih dinikmati, mata masih menatapi, telinga masih mendengar suara orang yang tersayang..syukurlah pada tuhanMu..ucapkanlah alhamdulillah selalu...
     Hari ini ada anak kecil yang menangis kelaparan, ada isteri yang sendirian meratap ditinggalkan, ada suami yang masih belum pulang demi sesuap nasi..hari ini si miskin di maki lantaran kemiskinannya, hari ini ada si buta yang dirompak hasilnya, hari ini juga ada si kaya yang dermawan lagi  budiman.
     Bersyukurlah wahai si anak kecil kerna tangismu didengar tuhan, bersyukurlah si isteri kerna terlepas dari seksaan, bersyukurlah sang suami kerna rezekimu diredhai tuhan, bersyukurlah si miskin kerna kesabaranmu di puji tuhan, bersyukurlah si buta kerna bukan dirimu yang melakukan, bersyukurlah si kaya dengan sifat yang Allah kurniakan...
     oh! sungguh bahagia bagi hati yang di celikkan tuhan, hanya bersyukur tatkala ujian, alangkah indahnya adab orang beriman sentiasa bersama pujian terhadap tuhan.
     Indahnya hatimu hai insan, kerja mu memuji tuhan, yakinmu tak keraguan, cukuplah Allah sebagai tujuan.




     Janganlah ditanya akan kerjaNya tuhan, tanyalah akan adab dan baktimu hai taulan..Syukurlah..syukurlah...

TEBARKANLAH KEBAIKANMU

     Salam kasih sayang buat anda semua...tebarkanlah kebaikanmu,semoga anda sentiasa gembira selalu.
bagaimana keadaan anda? tenang atau keluh kesah? syukur jika anda di beri ketenangan dan sentiasalah bertaubat jika jiwamu keluh dan kesah..


     Ketenangan itu adalah pakaian para-para malaikat,rasul,nabi,wali dan insan yang soleh...ketenangan puncanya di hati..Hati adalah tempat tilikan Allah terhadap hambanya...


     Kenapa hatimu tidak tenang?  adakah Nur ketenangan tak kunjung singgah dihatimu?  bagaimana ingin jadikan ketenangan itu tetamu hatimu?


     Saudaraku yang ku muliakan..sucikanlah hatimu dari dosa dan noda,tutuplah pancainderamu dari punca dosa, kosongkanlah perutmu dari yang haram, ajarlah nafsumu memuji tuhan..yang wajib jangan kau tinggalkan, yang sunat buatlah jika berkemampuan, hulurkanlah tanganmu kerna membantu, senyumlah dan senyumkanlah bibirmu..hormatilah pada ibubapamu,santunilah para saudaramu dan berbaik sangkalah kamu pada tuhanMu...insyaAllah hatimu tenang, insyaAllah ketenangan adalah tetamu hatimu.


     Saudaraku yang ku muliakan..dosa itu penghapus ketenangan, dosa itu petanda murkanya tuhanMu, dosa itu menghancurkan jasadmu, dosa itu membuatkan roh mu menangis teresak-esak dan dosa itu penyempit rezekimu...


     Saudaraku yang ku muliakan..Hentikanlah aktiviti-aktiviti dosamu, marilah kembali ke pintu tuhanMu..mari kita sesalkan akan dosa-dosa itu..mari kita tinggalkan ia jauh sejauh-jauhnya...


     Berapa banyak dosamu?  berapa berat dosamu?  adakah dosamu melangit tinggi seperti gunung ataupun mendasar jauh ke dasar lautan?  hiraukanlah itu semua kerna TuhanMu adalah pemilik segala keampunan, ampunanNya mengatasi kemarahanNya kerna dia pemilik nama dan sifat yang Maha Pengampun...


     Mari..bukalah hatimu, berdirilah dipintuNya, ratapkanlah alunan taubatmu kerna kamu tidak mempunyai masa lagi..mungkin ajalmu sebentar lagi atau hidayah takkan kunjungi dirimu selepas ini..marilah saudaraku..


....Marilah insafilah dirimu..Tebarkanlah kebaikanmu...

SALAM KASIH SAYANG BUAT ANDA SEMUA...

Alhamdulillah,segala puji hanya bagi Allah yang mempunyai nama-nama yang terindah dan selawat serta salam kepada junjungan besar nabi Muhammad saw yang dengannya sejahtera segala isi alam.