Rabu, 13 April 2011

AURA ORANG ALIM

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Sejuk mata memandang, tenang bila bersama, itu mungkin antara kata-kata yang selalu di sebut-sebut tatkala memandang atau bersama orang yang Alim. Kenapa wajah orang yang Alim seakan bercahaya ? kenapa kita berada dalam keadaan tenang bila bersamanya? mari kita kongsi jawapannya.

     Saudara yang ku muliakan, orang Alim yang di maksudkan disini ialah mereka yang bertaraf mursyid. Siapa pula yang dikatakan MURSYID ? orang yang bertaraf mursyid ialah dari kalangan orang yang sudah mencapai makam tauhid yang sebenarnya, mereka dari golongan muntahi, amalan mereka ialah 'dari Allah..bersama Allah..kerana Allah'.  Mereka ini tak semestinya dari golongan ulama sahaja, ada juga yang di kalangan orang biasa seperti kita.

     Berbalik kepada persoalan di atas, ketenangan yang terpancar dari wajah orang Alim adalah Nur yang di pancarkan dari Allah, malah diri mereka di kelilingi oleh Nur kesejahteraan dari tuhan. Hidup mereka dipenuhi rahsia ketuhanan dan mereka rela menjadi hamba sehambanya kepada tuhan.

     Allah menghiasi diri mereka dengan ilmu dan amal yang ikhlas, kata-kata  mereka benar, perlakuan mereka juga benar, hati mereka teguh yakin dengan Allah. Mereka adalah golongan orang yang suci di sisi tuhan.

     Saudaraku, bila ilmu dan amal mereka ikhlas, tutur kata dan perlakuan mereka benar, tauhid mereka kukuh, maka golongan ini terlepas dari sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan terpancarlah sifat-sifat yang terpuji (mahmudah) dari diri mereka.

     Hasil dari suci hati dan perbuatan mereka, akan terbitlah AURA yang positif. Aura positif terhasil dari dalam dirinya malah mengelilingi mereka, oleh sebab itu, kita akan berasa tenang bila bersama dengan golongan seperti ini, kata-katanya akan memberi kita semangat dan motivasi dan wajahnya akan kita rindui.

     Saudaraku sekelian, kita memerlukan Aura yang positif untuk mencapai ketenangan dalam hidup ini. Untuk menjadi seorang yang positif, pelbagai cara yang boleh kita laksanakan dan salah satu caranya adalah berdamping dengan orang yang positif terutamanya berdamping dengan orang Alim yang mursyid kerana golongan inilah yang akan mewariskan kita dengan ilmu dan amal yang sebenarnya.

sekian...