Khamis, 12 Mei 2011

IMBAS KENANGAN LALU...BANGKITLAH

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Kadang kala kita merasa hidup terlalu bosan. Mungkin kita pernah lalui suatu saat yang tiba-tiba merasakan hidup merasa bosan dan diri tidak ada semangat dan kekuatan untuk melakukan aktiviti harian, badan dan minda menjadi lesu, fokus kita hilang, kekuatan yang selama ini bersama kita juga turut hilang di telan kemurungan yang berpanjangan, hidup seakan-akan kosong tiada tujuan.

     Jika berlaku situasi seperti ini, kita harus segera bangkit agar kita tidak hanyut di buai kemurungan selamanya. Bangkitlah dan tinggalkan kemurungan, carilah semangat yang hilang, pulihkanlah tenaga dan mindamu.

     Suatu hari jika anda bersendirian, tatkala suasana menjadi tenang, ambillah album kenangan anda bersama keluarga dan tataplah perlahan-lahan. Lihatlah wajah anda sewaktu kecil, ketika kanak-kanak, kemudian remaja dan seterusnya menjadi dewasa. Lihatlah wajah ibu dan bapamu sepuas-puasnya, lihat wajah adik-beradik dan perhatikanlah wajah-wajah kesayangan anda. Tatap wajah mereka dan imbas setiap cerita di dalam gambar kenangan yang indah itu, bawalah diri anda ke zaman dulu dan rasailah kemanisan di waktu itu, saya pasti anda akan bahagia dan semangat anda akan mula bangkit, kenangan lama akan membantu mencipta kenangan baru, hidup anda akan berbunga kembali.

     Lihatlah gambar wajah ibubapamu, kenanglah pengorbanan mereka dahulu, perhatikan betapa mereka memelukmu erat ketika kamu kecil dahulu. Betapa gembiranya mereka ketika melihatmu tersenyum, betapa terhiburnya mereka dengan telatahmu ketika mula belajar berjalan, sesungguhnya ibubapamu bahagia ketika itu.

     Lihatlah gambar seterusnya, betapa akrabnya hubungan sesama adik beradikmu, makan bersama, tidur bersama, ketawa bahagia, semua kenangan akan terimbas mesra.

     Seterusnya lihatlah gambar-gambar kenangan yang boleh membahagiakanmu, yang membuatkan senyuman di bibir kembali terukir dan yang membuatkan hati terusik seketika.

      Perhatikan juga suasana, keadaan dan perubahan gambar di masa lalu dengan waktu kini, anda akan lihat jika dulu rumahmu di kelilingi hutan, kini tiada lagi keadaan itu. Jika dulu di tepi rumahmu ada tempayan, kini tiada lagi dan di ganti paip besi, Jika dulu rumah bertiang kayu, mungkin kita menjadi batu. Semua perubahan ini jika anda perhatikan dan amati sedalam-dalamnya, pasti hatimu akan bercerita dan akan terimbas semua kenangan yang lama.

    Pelbagai kenangan akan terimbas, anda akan terhibur dengannya tapi ingatlah jika mereka yang anda lihat tiada lagi di dunia ini, maka hadiahkanlah Al Fatihah untuk mereka, dan maafkan serta doakan mereka kerana mereka pernah melengkapkan kenangan terindah anda suatu masa dahulu, kerana mereka juga gambar itu bercerita dan kenanglah bahawa mereka pernah bersama kita.

   Sekarang hati anda sudah berbunga kembali, malah terkadang air mata membasahi pipi. Kini anda punyai semangat kembali dan seharusnya anda terus bersemangat demi sebuah kehidupan abadi.

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan