MUTIARA PARA WALI

    
 Pesan Syeikh Abdul Qadir  Al Jailani

     Jika ingin mencari guru yang mursyid yang dapat membimbing perjalanan kerohanian dan memasuki makam tauhid :

    Bangunlah pada sepertiga malam, lakukan solat dua rakaat dan berdoalah seperti berikut :

     " Ya tuhanku..! tunjukkanlah kepadaku hamba-hambaMu yang soleh. Tunjukkanlah kepadaku orang-orang yang mampu membimbingku kepada Engkau, iaitu orang-orang yang memberi makan kepadaku dengan makanan engkau, yang memberi minum dengan minuman engkau, memberi celak mata kedekatan ku dengan cahaya kedekatan engkau  dan memberi tahu kepada ku akan sesuatu yang sudah dilihatnya dengan nyata, bukan dengan sekadar taklid atau ikut-ikutan"...


     " Ya Allah, tunjukkanlah aku kepada seorang hamba daripada hamba-hambaMu yang soleh untuk menyampaikan aku kepada keredhaanMu dan memperkenalkan aku jalan menuju keredhaan itu".



*************



SYAIR SYEIKH JALALUDDIN AR RUMI


Wahai tuhan yang Maha Agong dan Maha Mengetahui,
     DariMu datangnya pasang surut lautan jiwaku,


Sebentar tenang,
     Tetapi sering gelora tak menentu,


Wahai tuhanku, 
tunjukkanlah aku,
     Jalan-jalan menuju keredhaanMu,
     Jalan-jalan yang lurus bukannya berliku,


Aku sedih Engkau hiburkan,
     Aku susah Engkau senangkan,


Engkaulah tujuan perjalanan,
     Tumpuan segala harapan,


Engkau sahaja yang aku cintai,
     Kepada Engkau sahaja aku cintai,
     Buat Engkau segala puja dan puji,


Hidupku matiku,
     Ibadat dan pengabdianku,
     Hanya untukMu tuhanku,


Matikanlah aku sebelum mati,
     Meskipun badan masih tegap,
     Tetapi perasaan sudah kembali,


Aku berjalan sudah penat,
     Pimpinlah aku ke jalan dekat,
     Dalam keredhaanMu yang penuh nikmat.






************



MADAH RABIATUL ADAWIYAH


     Engkaulah kelapanganku dan kesenanganku apabila Engkau berada di sisiku,

Apabila aku merasakan Engkau tiada, maka dunia ini seolah-olah tempat tahanan bagiku,

     Jika aku tidak terpikat kepadaMu dan hatiku tidak mencintaiMu,

Maka kepada siapa selainMu yang patut aku terpikat dan mencintaiNya.




*************




SAJAK MAULANA JAMI


Kamu, hanya Kamu tersembunyi dan terhijab,
Kamu dalam hati dan dalam jiwa,
Di mana pun aku mencariMu,
Di sana ada Kamu.

Aku balik-balikkan halaman kitab alam raya,
Aku membacanya,
Kelihatan Kamu dan kerjaMu dalam kitab itu,
Kewujudan Kamu ibarat lautan,
Ombak di permukaan lautan itu adalah dunia,
Yang sentiasa bertukar dan berubah.

Berapa lama lagi tuan puan hendak bicara,
Tentang fizik, geometri,
Berapa lama lagi hendak bicara,
Tentang geologi, zoologi dan botani.

Wahai tuan dan puan,
Satu Zat yang esa itulah Hakikat,
KerjaNya dan sifatNya itulah sumber "yang banyak",
Alam semesta ini hanya satu mimpi,
Tetapi di situlah hakikat menzahirkan diri,
setiap ketika siang dan malam.

Dalam alam semesta hanya satu cahaya yang wujud,
cahaya itu bersinar menerangi semua yang kelihatan,
Allah itu cahaya dan alam ini penzahiranNya,
Inilah hakikat tauhid.

carilah realiti dan makna sebenar dalam kata-kata,
makna itu realiti yang terkandung dalam kata-kata,
Pandanglah melampaui alam zahir dan perbatasanNya,
kalau hendak membuang kejahilan,
carilah kunciya dalam apa yang zahir.

Benda-benda adalah bekas yang diperbuat dari kaca berwarna,
Yang di suluh oleh Matahari Wujud,
Jika kaca itu merah dan hijau,
Cahaya itu kelihatan seperti warna tersebut.

Hatiku diluar perbatasan maya,
Di luar sempadan dimensinya,
hatiku jauh daripada bayangan sifat,
Ia mencerminkan tajalli Zat.

Aku tiada apa-apa, kosong semata,
Apa yang ada dalam kekosongan,
Jika aku bicara tentang Hakikat,
Itu hanya kata-kata sahaja,
Hakikat itu tidak akan tercapai ,
Kecuali anak kunci Wujud membukakan,
Hakikat itu ibarat lautan,
kata-kata hanya fatamorgana dan maya.

Alangkah bahagianya mereka yang dapat keluar,
Keluar daripada alam dalamana dan alam luaran,
Mereka mengatasi kesentosaan minda dan kesengsaraan badan,
Mereka duduk diam di penjuru "Tidak Wujud".

Aku duduk di alam cinta,
Di sana aku mabuk ingat kepadaMu,
Di sana aku cinta dalam cintaMu,
Bersatu dan berpadu, aku dan Kamu.



*************




NUKILAN SYEIKH MANSUR AL HALLAJ



HAKIKAT NABI MUHAMMAD SAW

Suatu cahaya terbit dari Cahaya Yang Maha Ghaib,
Cahanya lebih terang daripada cahaya-cahaya yang lain,
ianya suria yang menyinarkan cahaya lebih terang daripada..
..segala cahaya bintang yang lain.

Ianya sebuah suria yang rumahnya di langit,
Allah namakan dia "ummi", 
Badannya berada di Mekah,
Ia tidak berkata-kata kecuali menurut pandangan batinnya,
Ia tidak menyuruh orang menurut perangainya kecuali kerana..
..perangai itu benar belaka.

Ia duduk di majlis yang Maha Esa,
Ia membawa orang lain duduk bersamanya,
Ia menyampaikan maklumat daripada apa yang di lihat,
Ia di utus sebagai pembimbing manusia,
ia menunjukkan akhlak yang patut di contohi semua.

Tiada siapa yang tahu hakikatnya kecuali mereka yang ikhlas dan mengenalnya,
Allah menunjukkan hakikatnya kepada sesiapa yang dikehendakiNya,
cahaya kenabian terbit dari cahayanya,
cahayanya terbit daripada  yang Maha bercahaya.

Tidak ada cahaya lain seterang cahayanya,
Wujudnya mendahului "sebelum wujud",
namanya mendahului qalam a'la,
Tidak ada yang lebih mulia, lebih bijaksana, lebih adil..
..lebih pengasih dan lebih taqwa daripadanya.

Gelarannya penghulu segala makhluk,
Namanya Ahmad, sifatnya Muhammad,
Ajarannya jelas, zat dirinya agong, sifatnya hebat.

Dia dahulu dan dia sekarang,
dia yang awal dan dia yang akhir,
Ia dikenangi sebelum adanya "sebelumnya",
Ia diingati selepas adanya "selepas".

Zatnya nur,
kata-katanya bersifat kenabian,
Ilmunya bersifat kelangitan,
cara bahasanya bahasa Arab,
Asal bangsanya "bukan dari timur dan bukan dari barat".

Mata melihat jelas tanda-tandanya,
Rahsia diri terserlah oleh adanya ia,
Allah lah yang membuatkan ia berkata-kata..
..dan membuktikan kesahihan kata-katanya.

Allah lah yang mengutuskannya,
Dialah bukti dan dialah juga yang dibuktikan,
Ia menghilangkan dahaga hati yang dahaga,
Dialah yang membawa qalam Ilahi untuk makhluk semua,
Ia bersatu dengan Allah tanpa bercerai tanggal,
Ia menghapuskan kegelapan hati dan menyinarkan nur..
..ketuhanan kepada minda insan.

Ia terbatas dan terhad dari segi badaniah,
Ia wira gagah perkasa,
Ia menerima perintah menghancurkan berhala,
Ia menyedarkan manusia siapa musuh sebenarnya.

Semua ilmu adalah setitik air dari lautan ilmunya,
Semua hikmah hanya segelas air dari lautan hikmahnya,
semua waktu hanya seketika sahaja daripada tempoh hayatnya.

Allah beserta dengannya sentiasa,
Ia terawal sekali dalam kesatuannya dengan Yang Maha Esa,
Ia terakhir di utus sebagai rasul,
Dari segi hakikat, ianya batin,
Dari segi makrifat ianya zahir,
Tidak ada si alim yang menyamai ketinggian ilmunya,
Tidak ada failasuf yang mencapai ketinggian hikmahnya.

Alah jadikan kata-katanya terzahir dan meluaskan ..
..tanda-tandanya dan membuatkan buktinya diketahui,
Allah turunkan "Furqan" kepadanya,
Allah lancarkan lidahnya berkata-kata,
Allah menerangkan hatinya,
Tiada siapa yang dapat meniru isi Al Quran yang di bawanya.



**********






KATA KERAMAT TOK KENALI


Kata-keramat Tok Kenali ketika sedang menyampaikan kuliah kepada muridnya :

Siapa panjang umur boleh tengok..
Bumi ini akan menjadi rata,
Pasir akan terkambus,
Rumah akan teruntuh,
manusia akan berjalan dengan terbang,
Manusia akan tidur dekat jamban tahi,
manusia akan makan dekat tandas,
Ilmu berkembang serata kedai kopi,
segala-galanya akan berlaku..

Orang lebai akan banyak,
Orang cerdik pun akan bertambah,
Orang pandai pun akan ramai.

Tapi hak satu ini memang payah,
Semuanya mudah di lihat,
Bukit menjadi bumi,
Pusu menjadi tanah.



*************