Selasa, 24 Mei 2011

PUISI TANGISAN MADRASAH AT TAQWA

     Salam kasih sayang buat anda semua...

Malam tadi kita bersama ketawa gembira,
Hubungan mesra bagaikan saudara sesyurga,
Kita mengaji dan mengalunkan nasyid bergembira,
Tak sangka itulah kenangan akhir kita...

Suci wajah-wajah anak-anak ini,
Bercahaya kerana Al Quran di lekat di hati,
Penyeri keluarga apabila bersama,
Pembela keluarga kelak tiba masanya...














Hari-hari mereka penuh gembira,
Hilai tawa terkadang menangis bersama,
Hubungan yang erat tetap terjaga,
Hanya nyawa pemisah mereka...

Hari itu ketika malam menjelma,
Kita semua berkumpul mesra bersama-sama,
Solat Isyak yang mendamaikan suasana,
Alunan Al Quran yang menggegar jiwa...

Malam itu bagai malam terakhir kita,
Masing-masing terasa akan manisnya bersaudara,
Suasana bagaikan memberi gambaran peristiwa,
kita menangis secara tiba-tiba...

Pagi yang hening di kejutkan azan yang mendayu,
Mendayu tidak seperti biasa,
Mendayu amat menyentuh jiwa,
seolah-olah alam menitiskan air matanya...

Burung berkicau tak keruan,
Membawa alamat qadaq dan qadar dari Tuhan,
Alam resah menanti berita,
Apakah bakal menanti mereka...

Wahai anak-anak penghuni syurga,
Sudah tiba masa kau ke sana,
Hukum Allah tetap dan tepat pada masanya,
Kau termasuk di dalam urusanNya...

Ketika kau berkumpul bernasyid bersama,
Ketika itu pintu syurga pun di buka,
Hai anak-anak kecintaan Nabi,
Sudah masanya kau berpisah sementara...















Menangis alam berderai air matanya,
Berlaku peristiwa meruntun jiwa,
Ranap rumahmu di timpa bencana,
Bermula episod cerita takdirNya...

Terkedu melihat suasana,
Bertempiaran lari menyelamatkan diri,
Mana rakanmu entah ke mana,
Nasib mereka apakan terjadi...

Menjerit ketakutan meraung kesakitan,
Tangan melambai meminta bantuan,
Apakan daya tangan tak sampai,
Hanya air mata jatuh berderai...

Bayangkan suasana tatkala itu,
Bagaikan kiamat sudah berlaku,
Ngeri suasana tak sanggup di gambar,
Di depan mata sudah terpapar...

Anak-anak yang meraung sudah tiada,
Tubuh kaku meghibakan suasana,
Teresak-esak sahabatmu dan kita semua,
Tatkala anak-anak ini tiada bernyawa...

Tabahlah wahai anak-anak At Taqwa,
Kejadian menimpa terkandung hikmah,
Ini sebahagian urusan Allah,
Panjatkan doa hadiahkan al fatehah...

Buat sahabatmu yang terkorban,
Bergembiralah di samping tuhan,
Allah memuliakan kamu,
Kerana kau adalah sebahagian tetamu...

Berbahagialah kau di sana,
Di sisi nabi dan tuhan yang Esa,
Doa kami iringmu sentiasa,
Kenangan terpahat tak akan di lupa...














Khamis, 12 Mei 2011

IMBAS KENANGAN LALU...BANGKITLAH

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Kadang kala kita merasa hidup terlalu bosan. Mungkin kita pernah lalui suatu saat yang tiba-tiba merasakan hidup merasa bosan dan diri tidak ada semangat dan kekuatan untuk melakukan aktiviti harian, badan dan minda menjadi lesu, fokus kita hilang, kekuatan yang selama ini bersama kita juga turut hilang di telan kemurungan yang berpanjangan, hidup seakan-akan kosong tiada tujuan.

     Jika berlaku situasi seperti ini, kita harus segera bangkit agar kita tidak hanyut di buai kemurungan selamanya. Bangkitlah dan tinggalkan kemurungan, carilah semangat yang hilang, pulihkanlah tenaga dan mindamu.

     Suatu hari jika anda bersendirian, tatkala suasana menjadi tenang, ambillah album kenangan anda bersama keluarga dan tataplah perlahan-lahan. Lihatlah wajah anda sewaktu kecil, ketika kanak-kanak, kemudian remaja dan seterusnya menjadi dewasa. Lihatlah wajah ibu dan bapamu sepuas-puasnya, lihat wajah adik-beradik dan perhatikanlah wajah-wajah kesayangan anda. Tatap wajah mereka dan imbas setiap cerita di dalam gambar kenangan yang indah itu, bawalah diri anda ke zaman dulu dan rasailah kemanisan di waktu itu, saya pasti anda akan bahagia dan semangat anda akan mula bangkit, kenangan lama akan membantu mencipta kenangan baru, hidup anda akan berbunga kembali.

     Lihatlah gambar wajah ibubapamu, kenanglah pengorbanan mereka dahulu, perhatikan betapa mereka memelukmu erat ketika kamu kecil dahulu. Betapa gembiranya mereka ketika melihatmu tersenyum, betapa terhiburnya mereka dengan telatahmu ketika mula belajar berjalan, sesungguhnya ibubapamu bahagia ketika itu.

     Lihatlah gambar seterusnya, betapa akrabnya hubungan sesama adik beradikmu, makan bersama, tidur bersama, ketawa bahagia, semua kenangan akan terimbas mesra.

     Seterusnya lihatlah gambar-gambar kenangan yang boleh membahagiakanmu, yang membuatkan senyuman di bibir kembali terukir dan yang membuatkan hati terusik seketika.

      Perhatikan juga suasana, keadaan dan perubahan gambar di masa lalu dengan waktu kini, anda akan lihat jika dulu rumahmu di kelilingi hutan, kini tiada lagi keadaan itu. Jika dulu di tepi rumahmu ada tempayan, kini tiada lagi dan di ganti paip besi, Jika dulu rumah bertiang kayu, mungkin kita menjadi batu. Semua perubahan ini jika anda perhatikan dan amati sedalam-dalamnya, pasti hatimu akan bercerita dan akan terimbas semua kenangan yang lama.

    Pelbagai kenangan akan terimbas, anda akan terhibur dengannya tapi ingatlah jika mereka yang anda lihat tiada lagi di dunia ini, maka hadiahkanlah Al Fatihah untuk mereka, dan maafkan serta doakan mereka kerana mereka pernah melengkapkan kenangan terindah anda suatu masa dahulu, kerana mereka juga gambar itu bercerita dan kenanglah bahawa mereka pernah bersama kita.

   Sekarang hati anda sudah berbunga kembali, malah terkadang air mata membasahi pipi. Kini anda punyai semangat kembali dan seharusnya anda terus bersemangat demi sebuah kehidupan abadi.

 
 

Rabu, 4 Mei 2011

KUASA FOKUS

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Untuk mencapai kejayaan perlukan fokus dan fokus amat perlu jika inginkan kejayaan.Tidak kira apa jua matlamat anda samaada besar atau kecil, ianya memerlukan anda fokus untuk mendapatkannya. Sebagai contoh, jika anda ingin miliki sebuah buku yang anda sangat minat dan harganya pula agak mahal, pada waktu itu anda tidak mampu untuk memilikinya. Percaya atau tidak, dengan kekuatan hasrat anda yang sangat kuat ingin memilikinya menjadikan anda fokus untuk merealisasikan niat anda itu. Bermacam-macam usaha akan anda lakukan dan akhirnya anda berjaya juga.


     Kenapa anda berjaya mencapai impian anda itu? cuba fikir dan renungkan sejenak...


Ok, mari kita kaitkan pula dengan kuasa fokus yang kita bincangkan diatas. Sebaik sahaja anda fokus untuk mencapai sesuatu yang diingini, secara otomatik seluruh tenaga anda bersatu, daya fikir dan daya kreatif akan terbentuk di minda menyebabkan minda merakam hasrat dan niat anda. Minda akan memainkan peranan untuk merealisasikan niat anda itu, ini yang dinamakan kuasa minda. Selagi mana anda terus fokus, minda akan terus bekerja secara otomatik menterjemahkan niat anda itu, akhirnya seluruh tenaga dan daya fikir anda akan bergerak seiring untuk merealisasikan apa yang minda rakamkan.


     Secara kesimpulannya :

anda inginkan sesuatu, kemudian merakamkannya dalam mindaFOKUS, dan minda  akan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan.

     Secara ringkasnya :

Selagimana anda fokus pada sesuatu matlamat, 
selagi itu tenaga tubuh dan tenaga fikir anda 
akan  terarah ke arah matlamat anda.  


Dan...


Jika anda tidak fokus, sebenarnya anda telah kehilangan daya hasrat yang diperlukan untuk mencapai matlamat..

anda juga akan kehilangan tenaga tubuh dan daya fikir untuk mencapai matlamat...

...kadang-kala anda akan buntu dan membuang banyak masa dan tenaga hanya untuk sesuatu perkara yang sepatutnya mudah tetapi teramat susah kerana kehilangan FOKUS. 




   

Sabtu, 30 April 2011

LIHAT WAJAH ANAK-ANAKMU

     Salam kasih sayang buat anda semua...

     Wahai orang yang budiman,
Berusahalah mencari kebahagiaan,
lihat wajah anak-anakmu,
buatlah mereka bahagia selalu.

     Wahai orang yang budiman,
Sediakanlah pakai minum anak-anakmu,
Semoga mereka mengukir senyuman untukmu,
Semoga kau pun tersenyum melihat senyumannya selalu.

     Wahai orang yang budiman,
Jalankanlah tanggungjawabmu dengan amanah,
Jangan kau abaikan secuai kehendakmu,
Jangan biarkan wajah anak-anakmu suram selalu.

     Wahai orang yang budiman,
Ajarlah anak-anakmu agama dan Al Quran,
Bantulah mereka hidup berpanduan,
Agar kelak mereka hidup bersandar iman.

     Wahai orang yang budiman,
Bekalkan anak-anakmu dengan tauladan,
Tunjukkanlah sifat yang budiman,
Supaya mereka hidup sentiasa berpedoman.

     Wahai orang yang budiman,
Renunglah wajah anak-anak kesayanganmu,
Jangan sesekali menjamahkan mereka dengan yang haram,
kasihkanlah mereka, tunjukkanlah ke arah agama.

     Wahai orang yang budiman,
Anak-anakmu itu adalah amanah,
Mereka bukan barang perhiasan,
Oleh itu jangan kau abaikan.

     Wahai orang yang budiman,
Jangan dimanjakan anak-anakmu dengan kemewahan,
Kelak mereka tak kenal erti kesusahan,
Nanti tak tahu erti kemanusiaan.

     Wahai orang yang budiman,
Berbaiklah dalam mendidik anak,
Tunjukkanlah akhlak yang paling indah,
Supaya hasilnya kau juga akan bahagia.

     Wahai orang yang budiman,
Cukuplah setakat ini sebagai catatan,
Ambillah isinya buat renungan,
Jika kau suka, jadikannya sebuah panduan.